Remaja Potong Lidah Serah Pada Dewa




Jharkhand (India): Seorang remaja Hindu nekad memotong lidahnya menggunakan pisau tumpul untuk membuktikan kesetiaannya kepada dewa Shiva.

Lalmohan Soren, 17, ditemui terduduk di Kuil Mahedevgarha di Dugda ketika orang ramai ternampak darah di lantai kuil pada satu pagi.


Lidah Lalmohan pula ditemui dalam mangkuk yang diletakkan di sisi kakinya berserta nota: “Saya sudah memotong lidah saya untuk dihadiahkan kepada dewa Shiva.

“Tolong jangan halau saya dari sini. Saya cuma ingin duduk di kakinya.”


Media semalam melaporkan, orang ramai kemudian memaklumkan kejadian itu kepada ketua kuil sebelum mereka berjaya memujuk Lalmohan pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan.


Sumber berkata, doktor cuba menjahit semula lidah Lalmohan namun gagal. Lalmohan kemudian dibenarkan pulang selepas beberapa hari.

Lalmohan kini semakin sembuh namun tidak dapat bercakap dan tidak boleh mengambil makanan pejal.

Kata sumber, keluarganya sangat terkejut dengan tindakan itu tetapi tetap menerima.

Ibu Lalmohan, Lalmuni Soren berkata anaknya itu memang tekun mendalami agama Hindu sejak kecil.

“Dia memang berminat melakukan pelbagai ritual namun saya tidak menyangka dia sanggup memotong lidah sendiri demi kepercayaannya.

“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepadanya kerana dia tidak akan boleh bercakap lagi,” katanya, semalam.

Daerah Dugda memang terkenal dengan pelbagai ritual pelik puak Santhal.

Mereka juga hairan dengan perhatian ‘luar biasa’ diberikan orang luar terhadap kejadian itu kerana ia memang menjadi amalan biasa di daerah berkenaan.

Penduduk tempatan Manoj Sharma berkata, puak Santhal mempunyai pelbagai kepercayaan dan amalan pelik.

“Pada 2011 seorang budak lelaki memotong jarinya untuk ‘dihadiahkan’ kepada dewa di dalam kuil sama,” katanya ketika ditemui, semalam.- Agensi

0 comment... add one now