JAIS Bertindak Seperti Taliban-Mufti

Bekas mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin membidas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menyerbu majlis perkahwinan pasangan Hindu baru-baru ini, dan menyatakan kebimbangannya negara kini menuju ke arah "Talibanisasi".

Mohd Asri mempertikaikan tindakan Jais itu yang dikatakan akan menyebabkan imej Islam tercemar.

"Jais perlu hati-hati kerana ia akan beri imej salah kepada masyarakat, malah dunia akan beri perhatian isu ini.

"Semakin hari masyarakat dunia melihat dunia ini cenderung kepada proses Talibanisasi dalam beragama disebabkan tindakan ini," katanya kepada The Malaysian Insider.

Asri juga mengkritik tindakan Jais sebagai tidak bijak yang kemudian akan menimbulkan pelbagai salah sangka di kalangan masyarakat di Malaysia.

"Ini semua tindakan tidak bijak, tidak ada kebijaksanaan yang akan beri imej negatif dalam pengurusan agama pada ketika kita sudah mempunyai isu yang banyak memberi imej negatif dan salah sangka bukan di kalangan bukan Islam sahaja tapi juga umat Islam sendiri.

"Ia sangat bercanggah dengan kempen wasatiyah yang dibawa oleh perdana menteri sendiri," katanya.

Pendakwah terkenal itu juga mempersoalkan keperluan Jais untuk menyerbu pada ketika majlis perkahwinan sedang berlangsung dan tidak memanggil dan menyiasat sebelum itu.

"Sepatutnya Jais boleh selesaikan isu ini lebih awal apabila ada maklumat, kenapa hari perkahwinan baru hendak serbu dan lakukan soal siasat, kenapa sebelum itu tidak buat," katanya.

Beliau berkata, Jais sepatutnya menyelesaikan perkara tersebut secara profesional dan bukan dengan menyerbu secara melulu.

"Agama ini bukan satu paksaan, sepatutnya mereka (Jais) panggil dengan cara baik dan siasat lebih awal, ini bukan zaman paksaan lagi," katanya.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu menyarankan agar isu mengenai mualaf di mana ibu bapa memeluk Islam diteliti semula memandangkan situasi ketika ini sudah berubah.

"Pada zaman dulu, orang keluar Islam sebab ada elemen pengkhianatan dan dalam mana-mana undang-undang memang hukumannya keras, bukan sahaja di dunia Islam tapi agama Kristian pun ada hukumannya.

"Tapi sekarang ini kita berdepan suasana baru dan memerlukan ijtihad baru serta pandangan baru dalam hal ini. Kita kena lihat balik faktor-faktor ini untuk melihat dalam suasana lebih matang tentang masalah bukan Islam yang emak dan bapa peluk Islam," katanya.

Beliau berkata, zaman dahulu hukuman kepada mereka yang keluar Islam adalah berat, zaman moden sekarang berbeza sama sekali kerana setiap negara berwilayah.

"Suasana sudah tidak sama pada zaman awal dahulu kerana dahulu orang peluk Islam atas kerelaannya dan kemudian keluar, ini seakan-akan ada elemen pengkhianatan.

"Zaman dulu juga tidak ada negara bersempadan, tapi yang membezakannya hanya pegangan akidah. Apa yang membezakan dengan yang sekarang adalah wilayah ada negara, ada kad pengenalan dan pasport," katanya.

Asri berkata, isu melibatkan kes mualaf ini perlu dibincang supaya selari dengan konteks zaman moden sekarang.

"Kita kena bincang pandangan yang lepas supaya ia kena dengan konteks zaman moden," katanya.

Peguam, Syahredzan Johan menyifatkan situasi ini berlaku berpunca daripada isu hak penukaran agama sehala.

"Isu sekarang adalah 'unilateral conversion', apabila seorang sahaja bapa atau emak mempunyai kuasa untuk menentukan agama anak-anak yang belum mencapai umur majoriti, ini yang berlaku sebenarnya," kata Syahredzan kepada The Malaysian Insider.

Syahredzan berkata, kajian dan penelitian mendalam mengenai isu tersebut perlu dikaji bagi mengelak ia lebih berleluasa.

"Jadi sebab itu, ramai mengesyorkan kalau dalam situasi ini apa yang perlu dilakukan dalam menentukan agama adalah ia mesti diputuskan secara bersama kedua-dua ibu dan bapa.

"Saya percaya kalau kita mengikut fungsi kedua-dua ini, masalah yang timbul ini mungkin tidak berleluasa," katanya.

Dr Maszlee Malik, pemerhati sosiopolitik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, isu kes serbuan perkahwinan oleh Jais berpunca daripada isu pentadbiran dan tidak melibatkan sentimen keagamaan.

"Perkara seperti ini perlu diselesaikan supaya tidak timbul kekeliruan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Maszlee juga membidas Jais kerana mencemarkan imej Islam di mata masyarakat apabila bertindak melulu.

"Jais sepatutnya buat kajian terperinci dahulu, mereka kena lihat kesan persepsi umum.

"Mereka kena berhati-hati dan perlu banyak buat kerja rumah sebelum ambil suatu tindakan," katanya.

Ahad lalu, Jais menyerbu sebuah kuil Hindu di Petaling Jaya dalam percubaan mereka untuk menghentikan majlis perkahwinan di mana pengantin perempuannya adalah seorang yang dipercayai beragama Islam.

Kontroversi tersebut menimbulkan reaksi kurang senang penganut Hindu dan pertubuhan bukan kerajaan mengecam keras tindakan tersebut.

Tindakan Jais itu juga mengganggu majlis perkahwinan dan menyebabkan pasangan pengantin tersebut mengalami kerugian.

Pengantin perempuan itu, Zarinah Abdul Majid dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insider berkata, beliau berulang-alik ke Mahkamah Syariah dan Jabatan Pendaftaran Negara untuk membuang perkataan "Islam" di kad pengenalannya.

Zarinah mengakui tidak mengamalkan kepercayaan agama Islam.

Beliau berkata, ibu bapanya beragama Hindu ketika berkahwin pada 1980. Ayahnya bernama S Mahendran dan ibunya S Vasandamma.

Kemudian bapanya memeluk Islam dan menukar nama kepada Abdul Majid, bagaimanapun ibunya kekal menganut agama Hindu.

Disebabkan itu, katanya, beliau dan tiga adik beradik lain mempunyai status agama Islam dalam surat beranak dan MyKad.

Zarinah berkata, selepas kelahiran adik lelakinya pada 1990, ayahnya meninggalkan rumah dan tidak pernah kembali. – 5 Jun, 2014.


GOMBAK: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, sebagai pihak berkuasa agama, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memang berhak menyiasat agama seseorang, tetapi tidak patut menyerbu majlis perkahwinannya.
Sejajar dengan itu, beliau menyarankan Jais merujuk kepada al-Quran kerana di dalam kitab suci itu terdapat banyak larangan berhubung tindakan terhadap seseorang yang tidak mengaku beragama Islam.
"Kamu (Jais) boleh menyiasat, tapi tidak boleh menghalang orang berkahwin. Apabila kamu menghormati agama orang lain, orang agama lain juga akan menghormati kamu.
"Saya ingin mencadangkan supaya mereka (Jais) kembali kepada al-Quran dan tidak membuat tafsiran sendiri (mengenai ayat al-Quran)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk 'Contemporary Islamic Lifestyle: Fitting In or Taking the Lead' dalam Siri Syarahan Perdana Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini, Rabu. 
Bekas perdana menteri itu berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai tindakan Jais menyerbu satu majlis perkahwinan di sebuah kuil Hindu di Petaling Jaya, Selangor Ahad lepas. 
Jais mendakwa pengantin perempuan dalam upacara itu beragama Islam, tetapi wanita berkenaan menafikannya dan berkata bapanya menukar agamanya kepada Islam tanpa pengetahuan keluarganya. 

0 comment... add one now