Negara Luar Ketawakan Malaysia Isu Cadbury

Isu kekeliruan berhubung kandungan coklat Cadbury yang dikatakan mempunyai DNA babi amat memalukan dan tidak boleh dimaafkan, kata Presiden Pertubuhan Pribumi Kebangsaan Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali.

Beliau berkata, isu berkenaan memperlihatkan kegagalan keupayaan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dengan mengeluarkan bukti yang tidak diperhalusi dengan betul.

"Siapa punya angkara?...Kementerian Kesihatan atau Jakim yang mengatakan coklat Cadbury ada DNA babi, ia amat memalukan," kata Ibrahim dalam satu kenyataan dari London.

"Bukti tidak teliti dengan diperhalusi, tidak ada 'Standard Operating Procedure (SOP) yang profesional antara Jakim dan Kementerian Kesihatan," katanya dan menambah, kesilapan sedemikian tidak boleh dimaafkan.

Ibrahim yang juga bekas ahli Parlimen Pasir Mas berkata, kekeliruan berkenaan melibatkan kerugian perniagaan yang besar dan menjejaskan reputasi Cadbury.

"Siapa yang silap dan cuai mesti diambil tindakan malah masyarakat antarabangsa turut mentertawakan Malaysia," katanya.

Ibrahim berkata, komuniti antarabangsa yang ditemuinya di London berkata "Malaysia amat melucukan" ekoran insiden tersebut.

"Ada yang saya jumpa di London komen 'Your country very funny ... not profesional at all ... Malaysia have the tallest twin tower in the world, but how come first'," katanya.

"Tak tahulah, nak cakap apa lagi," kata Ibrahim.

Selepas kontroversi DNA babi dalam coklat Cadbury, KKM mengesahkan pihaknya akan mengadakan siasatan dalaman untuk menjejak individu bertanggungjawab yang menyebarkan laporan tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, laporan awal tersebut tidak tepat dan penyebarannya secara terburu-buru mengakibatkan kekecohan di kalangan masyarakat yang majoriti beragama Islam di dalam negara.

"Kami akan membuat siasatan dalaman. Mereka terburu-buru mengeluarkan laporan awal itu sebelum siasatan lanjut melibatkan produk tersebut dilakukan semula," katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Persatuan Hospital Swasta Malaysia, hari ini.

KKM sebelum ini mengesahkan kewujudan DNA babi (porcine) dalam dua daripada tiga sampel coklat Cadbury yang diambil bagi tujuan pemantauan.

Susulan itu, Cadbury menarik balik dua produk, Cadbury Dairy Milk Hazelnut (nombor keluaran 200813M01Hh I2 yang tamat tempoh pada 13 November, 2014) dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond (nombor keluaran 221013N01R I1 yang tamat tempoh pada 15 Januari, 2015).

Kontroversi tersebut menimbulkan kemarahan orang ramai, malah pertubuhan bukan kerajaan menggesa Cadbury dan Jakim disaman akibat penemuan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagaimanapun semalam mengumumkan produk coklat Cadbury berkenaan tidak mengandungi DNA babi selepas keputusan terbaru makmal Jabatan Kimia Malaysia diperoleh.

Produk dalam negara-negara Islam kerap diperiksa untuk memastikan sama ada produk tersebut halal atau tidak.

Selain daging babi, barangan yang dianggap tidak halal oleh umat Islam termasuk alkohol dan daging haiwan disembelih tidak mengikut kaedah Islam.

Jakim hari ini juga menyatakan kesediaan memakan coklat Cadbury bagi membuktikan kandungannya tidak memiliki DNA babi seperti yang didakwa sebelum ini lapor The Malaysian Insider

0 comment... add one now