Selepas Untung RM4 Bilion Najib Umum Eletrik Terpaksa Dinaikkan Elak Kerugian

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan terpaksa menaikkan tarif elektrik bagi melindungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada berdepan kerugian, sekali gus menjejaskan masa depan 34,900 pekerjanya.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, ia juga langkah jangka panjang bagi memastikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus menjadi nadi menjamin tenaga eletrik negara, selain mengelakkan syarikat defisit.
Beliau berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kerja TNB bersama Perdana Menteri di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan TNB, di sini, sebentar tadi.

Pada majlis itu, Najib melancarkan Program Transformasi 1TNB, mengandungi enam Bidang Keberhasilan Utama antaranya menambah baik hubungan dengan pihak kawal selia; melangkaui kepuasan pelanggan; meluaskan bisnes baharu; mentransformasikan organisasi serta memperkukuh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).



ARKIB : 31/10/2013
TNB catat untung bersih RM4.61 bilion pada 2013

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi berjumlah RM4.61 bilion bagi tahun kewangan (TK) berakhir 31 Ogos, 2013 daripada RM4.41 bilion tahun sebelumnya ekoran pengukuhan ringgit, permintaan yang lebih tinggi bagi elektrik dan harga arang batu yang lebih rendah.

Pendapatan bagi tahun ini melonjak kepada RM37.13 bilion berbanding RM35.84 bilion tahun lepas dan ini mencerminkan pertumbuhan permintaan bagi unit elektrik sebanyak 3.8 peratus di Semenanjung Malaysia dalam tahun kewangan ini.

Perbelanjaan kendalian meningkat sebanyak 1.8 peratus daripada tahun sebelumnya.

Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie, berkata pola pertumbuhan permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia menjejaki pertumbuhan keluaran dalam negara kasar negara ini.

"Dalam jangka sederhana, kami terus menjangkakan pertumbuhan permintaan elektrik yang teguh, seiringan dengan pertumbuhan ekonomi yang diunjurkan oleh sektor komersial," katanya semasa mengumumkan keputusan suku keempat hari ini.

Bagi tahun kewangan 2013, TNB mengumumkan dividen keseluruhan berjumlah 25 sen bagi setiap saham biasa.

Penjimatan kos penjanaan tenaga elektrik sebahagian besarnya adalah hasil daripada penurunan harga purata arang batu sebanyak 19.3 peratus kepada US$83.6 setan metrik dalam tahun kewangan ini berbanding US$103.6 setan metrik dalam tahun kewangan lepas. - BERNAMA







Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu menaikkan tarif elektrik bagi melindungi syarikat itu daripada kerugian kini dipermainkan para pengguna laman sosial.

Ini kerana, tahun lepas TNB mengumumkan keuntungan besar iaitu RM4.61 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2013 berbanding RM4.41 bilion untuk tahun sebelumnya.

Najib ketika menyokong kenaikan tarif elektrik baru-baru ini berkata, kenaikan itu perlu bagi melindungi TNB daripada berdepan dengan kerudian sekaligus menjejaskan masa depan 34,900 pekerjanya.


Najib juga berkata, tindakan juga perlu diambil bagi menjamin TNB menjadi sebuah organisasi berstatus juara serantau dan juara global dalam pembekalan elektrik pada masa depan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu menimbangkan perkara yang kadang-kala amat sukar dan ia termasuk menaikkan tarif elektrik, iaitu tindakan yang dilaksanakan, baru-baru ini.

"Sebab itulah kita kena menimbangkan perkara yang kadang-kadang agak sukar misalnya sama ada tarif elektrik hendak dinaikkan atau tidak," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Warga Kerja TNB sempena sambutan Hari Pekerja di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan TNB di Kuala Lumpur,semalam.

Namun pengkritik menyifatkan apa sebenarnya berlaku adalah ekoran tindakan kerajaan menyerahkan pembekalan elektrik kepada pembekal tenaga bebas (IPP) khasnya kepada YTL.

Pada 6 Mei lalu, lima negeri bergelap serentak berpunca dari kegagalan 3 turbine di Manjung Power beroperasi, sesuatu yang disifatkan mereka sebagai kejadian luar biasa.

Ekoran itu, dalam mesyuarat Kabinet pada keesokan harinya iaitu pada 6 Mei, projek untuk YTL diluluskan secara runding terus tanpa diapungkan sebarang tender.

Menurut sumber, selain IPP, syarikat berkenaan juga mendapat projek keretapi laju dari Kuala Lumnpur ke Johor Bharu.

Pada 16 Mei Najib melawat TNB dan berucap kepada pekerja.

"Kesan penyerahan tender ini, YTL akan untung besar melalui perjanjian pembelian bekalan elektrik (PPA) dengan TNB," kata satu sumber dalam TNB kepada The Malaysian Insider.

Akibat PPA ini, TNB dijangka akan tertekan dan bakal mengalami kerugian sehingga terpaksa menaikkan tarif elektrik lagi.

IPP mula wujud apabila seluruh negara bergelap pada 1993 ekoran berlakunya "total blackout" pada tahun tersebut.

Ekoran perjanjian berat sebelah antara TNB dan IPP, Pengerusi TNB waktu itu Tan Sri Ani Arope meletakkan jawatan.

Menurut sumber itu, Ani Arope pernah berkata kepada kakitangan TNB hal ini.

"TNB ini umpama berniaga nasi lemak. Mereka mampu buat nasi lemak dengan kos 20 sen tetapi terpaksa membeli nasi lemak orang lain dengan harga 50 sen dan dipaksa jual balik kepada orang ramai dengan harga 60 sen (10 sen untuk tampung kosnya)," cerita sumber itu. – 18 Mei, 2014.-TMI

0 comment... add one now