Pakaian Dikoyak Orang Ramai Selepas Keluar Dari Kaabah

Pengalaman masuk Kaabah oleh Ustaz Dzulkarnain Hamzah: “Sebaik keluar daripada rempuhan orang ramai, pakaian saya menjadi koyak seperti fakir miskin dan samping yang dipakai hanya tinggal gulungannya. Sekitar 1980an, perkara khurafat masih menebal dalam kalangan orang Islam.

Pengalaman masuk Kaabah Mekkah: Berdepan dengan serangan hendap serta bom ketika solat berjemaah, bersenjata ketika bersolat dan berdakwah dalam situasi peperangan adalah antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan pendakwah bebas, Dzulkarnain Hamzah, 50. Bharian

Mengimbau kenangan ketika bertugas sebagai guru agama Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT) yang dihantar berkhidmat dengan Batalion Malaysia (Malbatt) 1 di Battambang, Kemboja selama setahun empat bulan di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekitar 1990an, beliau berkata beramal dalam situasi perang benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal.
“Saya sebagai tenaga pengajar bergilir-gilir ke penempatan tentera kita di Kemboja dan membantu dalam urusan keagamaan dan bertindak sebagai peniup semangat serta pembakar moral kerana cabaran di sana cukup besar,” katanya yang pernah berkhidmat dengan KAGAT selama 14 tahun.
Cabaran moral, emosi
Bukan itu saja, katanya, cabaran yang lebih besar apabila membabitkan moral dan emosi. Ini kerana aktiviti pelacuran boleh dilihat di mana-mana, termasuk berdekatan kawasan penempatan tentera.
“Di sinilah, saya cuba membantu pasukan bersama dua lagi guru agama mengadakan kuliah Subuh, Zuhur, Asar dan Maghrib. Malam pula dihidupkan dengan solat malam sebagai bekalan kepada kekuatan dalaman tentera kita. Kita membantu memberikan semangat bagi mengelakkan mereka terjerumus dalam lembah maksiat,” katanya.
Selain menjadi imam dan guru agama, Dzulkarnain juga bertugas sebagai amil mengutip zakat fitrah semasa Ramadan di penempatan pasukan Malbatt itu.
“Ketika itu, Islam di Kemboja bukan seperti sekarang. Ramai ulama sudah dibunuh semasa rejim Pol Pot. Islam hanya tinggal nama. Masjid dijadikan kandang babi. Jadi, kita juga membantu penduduk tempatan memahami ajaran Islam termasuk mengajar agama, menjadi khatib dan menguruskan ibadat korban, selain membaiki masjid yang musnah,” katanya yang mahu berbahasa Khmer.
Berasal dari Jasin, Melaka, bapa kepada lima cahaya mata ini, adalah antara pendakwah pertama di negara ini yang memulakan konsep hiburan menerusi dakwah dalam televisyen.
Bercerita mengenai pengalaman pertamanya mengacarakan program Kalam Suci di Astro Oasis, beliau berkata pada awalnya beliau hanya hadir sebagai tetamu dalam program perintis itu.
“Daripada tetamu, mereka rasakan saya lebih layak sebagai pengacara. Tetapi saya mahukan apa yang diperlukan artis termasuk kesan gema ketika mengalunkan bacaan al-Quran supaya bunyi tidak ‘kering’ dan mereka yang mengalunkan bacaan ayat suci itu lebih selesa.
Tarik penonton
“Macam remaja yang suka mendengar lagu Korea bukan sebab mereka faham liriknya tetapi penyanyi yang pandai menghayati lagu itu. Saya cuba bawakan konsep yang sama dalam pembacaan ayat al-Quran, apabila yang membaca ayat suci itu mampu menghayati taranumnya, maka walaupun pendengar tidak faham tetapi ia pasti menusuk ke hati,” katanya.
Selain itu, beliau turut meminta pihak stesen televisyen menggunakan konsep perfileman dalam program agama bagi menarik penonton termasuk menggunakan lebih dari satu kamera.
“Setiap tujuh saat mata kita akan berkelip, jika hanya menggunakan satu kamera penonton akan cepat bosan kerana statik seperti program agama sebelum ini. Justeru, apabila lebih kamera digunakan, pergerakan tetamu dapat dirakam dari pelbagai sudut yang sekali gus menjadikan program agama tidak membosankan.
“Alhamdulillah, nampak perubahan dalam program agama yang disiarkan, bukan hanya memfokuskan pendakwah duduk dalam satu sudut saja tetapi dari pelbagai sudut. Bukan itu saja, program agama juga kini banyak diselang seli dengan lagu dan seni yang mampu menarik golongan muda,” katanya.
Bekas pelajar Sekolah Pondok Sungai Durian Kuala Krai Kelantan dan Maahad Tahfiz Pusat Islam (kini dikenali sebagai Darul Quran) ini pernah mewakili negara dalam pertandingan antarabangsa menghafal al-Quran dan taranum di Makkah pada 1983.
Dzulkarnain berkata, ketika berada di sana, beliau berpeluang masuk ke Kaabah bersama peserta negara lain dan hakim pertandingan itu termasuk Tan Sri Hassan Azhari.
Berbau wangi
“Raja Fahd ketika itu membuka pintu Kaabah dan bau di dalamnya wangi kerana bau daripada setanggi sehingga melekat ke baju. Semua peserta diminta memakai baju kebangsaan. Saya memakai baju Melayu dan samping yang ditaja Kerajaan Melaka.
“Masa masuk ke Kaabah itu berebut-rebut kerana peserta pun beratus orang. Ibu pesan supaya jangan mendongak memandang siling Kaabah kerana bimbang sesuatu buruk berlaku tetapi saya ingkar pesanan itu dan melihat ke atas dan mendapati hanya siling,” katanya.
Bagaimanapun, sebaik turun dari pintu Kaabah, beliau diserbu orang ramai dan ribuan yang mengambil peluang memeluknya dan menggunting baju serta sampingnya.
“Sebaik keluar daripada rempuhan orang ramai, pakaian saya menjadi koyak seperti fakir miskin dan samping yang dipakai hanya tinggal gulungannya. Sekitar 1980an, perkara khurafat masih menebal dalam kalangan orang Islam.
“Mereka menggunting pakaian saya kerana mahukan cebisan kain untuk tujuan khurafat,” katanya yang turut dihadiahkan kelambu Kaabah sepanjang sekaki oleh kerajaan Arab Saudi.
Tugasnya sebagai Pengelola Jemaah Haji Swasta Rayhar Travels Sdn Bhd sejak lapan tahun lalu membolehkan beliau menunaikan haji setiap tahun, selain membawa jemaah mengerjakan umrah.

0 comment... add one now