Hafiz Suip Pilih Saudara Sebagai Kekasih Dikritik Peminat

KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz Suip terkejut apabila beberapa peminatnya melahirkan kemarahan selepas mendapat tahu dia sudah berpunya apabila foto kekasihnya di keluarkan di laman Instagram minggu lalu.

Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 24, berkata, dia tidak menyangka peminatnya akan memberikan respons sedemikian tetapi berasa lega kerana tidak lagi perlu menyembunyikan rahsia perihal pasangan cintanya yang dikenali sebagai Fy itu.

"Ini merupakan kali pertama saya memuat naik foto kekasih di Instagram sekadar mahu memberitahu yang kini saya sudah berpunya.

"Tidak sangka pula apabila ada beberapa peminat yang meluahkan rasa kecewa kerana foto itu. Bagaimanapun, saya percaya mereka akan faham. Takkanlah saya tidak boleh ada kekasih semata-mata ingin menjaga hati orang," selorohnya.

Hafiz ditemui pada majlis pelancaran showcase Hafiz & Friends di Hard Rock Cafe di sini pada Khamis.

Minggu lalu, teka-teki mengenai siapakah kekasih Hafiz terjawab dia berkongsi fotonya bersama wanita itu dengan kapsyen ‘happy birthday to my love’ bagi mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran wanita berkenaan.

Hafiz (kiri) dan Akim Ahmad akan terlibat dalam persembahan di Hard Rock Cafe, Melaka pada 22 Jun depan. Turut sama penyanyi Hazama.

Dalam pada itu Hafiz berkata, tujuan dia mendedahkan foto tersebut kerana merasakan sudah tiba masanya untuk dia berkongsi rasa bahagia perhubungan cintanya yang sudah terjalin selama lima bulan itu.

"Dulu saya terfikir, jika mendedahkan hal percintaan saya, mungkin ia akan menggugat karier dan peminat tidak akan suka saya lagi.

"Tetapi bila fikir balik, buat apa perlu sorok benda baik. Tetapi saya tidak akan memberitahu secara terperinci mengenai Fy.

"Apa yang saya boleh katakan, Fy merupakan pelajar jurusan akaun di sebuah institusi pengajian tinggi. Dia juga merupakan saudara jauh saya," ujarnya.

0 comment... add one now