Zuhdi Jawab Isu Whatsapp Rahsia Yang Tersebar

Zuhdi Jawab Isu Whatsapp Rahsia Yang Tersebar-KESYAHDUAN hari terakhir Ramadan telah dicemarkan oleh tindakan segelintir pihak dalam Pas, membocorkan maklumat perbincangan yang sangat sulit dan rahsia dalam kumpulan Whatsapp AJK Pas Pusat.

Tindakan tersebut telah membangkitkan 'fitnah yang sedang tidur' pada hari yang sepatutnya ditumpukan kepada ibadah sebagaimana nasihat Mursyidul Am Pas.

Tindakan membocorkan maklumat perbincangan itu dipercayai dilakukan oleh salah seorang ahli yang ada dalam kumpulan Whatsapp AJK Pas Pusat, sekaligus menunjukkan sikap yang sangat buruk pada individu tersebut.

Ia dilakukan untuk memalitkan nama saya dengan gerakan untuk membawa Pas keluar dari PR, setelah saya melakukan beberapa kritikan keras ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kemelut isu MB Selangor.

Sebenarnya maklumat perbincangan yang dibocorkan itu adalah respon saya kepada permintaan ahli-ahli perbincangan supaya mengemukakan analisis senario (scenario analysis) tentang cadangan seorang pimpinan kanan Pas yang mengusulkan Pas keluar dari PR.

Usul Pas keluar dari PR itu telah disokong kuat oleh tidak kurang 10 orang anggota dalam kumpulan Whatsapp itu, yang sebahagian besar mereka amat rapat dengan Anwar Ibrahim.

Mereka menyambut usul keluar PR yang dicadangkan itu, dengan ada yang menambah, mesyuarat Pas Pusat pada 10 Ogos akan datang hendaklah mendahulukan perbincangan usul ini daripada membincangkan kemelut isu MB Selangor.

Terdapat juga yang menyarankan, Pas lebih baik bersendirian supaya ahli-ahli Pas lebih bebas mengkritik dan mencegah kemungkaran sebagaimana ketegasan Pas yang dikenali sebelum ini.

Berikutan dengan perbincangan itu, saya mencadangkan supaya dibuat analisis senario apa yang akan berlaku jika Pas keluar PR dari segi kerajaan negeri yang Pas bersama di dalamnya, situasi penerimaan ahli-ahli dan lain-lain.

Cadangan itu dialu-alukan dan mereka meminta saya mengemukakannya.

Disebabkan permintaan tersebut sayapun mula melakukan analisis ringkas tersebut dengan mengimaginasi senario yang akan berlaku jika Pas keluar PR.

Untuk melakukan analisis senario ini, selain daripada memerlukan fakta-fakta semasa, daya imaginasi penganalisis juga harus diambil kira.

Dalam maklumat perbincangan yang dibocorkan itu, saya memaparkan senario yang akan berlaku sekiranya Pas keluar PR, dari segi kedudukan kerajaan negeri Selangor, dan kebebasan Pas untuk berhadapan dengan DAP dan lain-lain pihak seumpamanya yang boleh dikecapi semula selepas keluar PR.

Saya menggunakan bahasa imaginasi untuk menggambarkan senario tersebut.

Berikutan dengan penjelasan ini, saya menegaskan saya tidak termasuk dalam senarai mereka yang menyokong usul keluar PR itu.
Semoga dengan penjelasan ini, nama saya dapat dibersihkan daripada tanggapan buruk pelbagai golongan ekoran sikap segelintir pihak di dalam Pas yang membangkitkan fitnah yang sedang tidur.

Sekian, salam Eidul Mubarak dan Maaf Zahir Batin.


Dipetik dari Facebok  Dr Mohd Zuhdi Marzuki, Pengarah Operasi PPP@sinar












Satu paparan skrin aplikasi kiriman mesej Whatapps yang terbocor 
mendedahkan pemimpin jawatankuasa PAS pusat secara aktif
membincangkan mengenai kemungkinan senario parti itu meninggalkan
Pakatan Rakyat.

Ini mungkin petunjuk terbesar setakat ini bahawa ancaman perpecahan 
Pakatan itu menjadi benar, apabila paparan skrin itu tersebar dalam
Facebook yang menunjukkan ahli jawatankuasa PAS Mohd Zuhdi
Marzuki sedang membincangkan bekerjasama dengan Umno.

Beliau, seorang pensyarah, menggariskan satu senario bagaimana PAS 
boleh keluar daripada Pakatan dan kemudian membentuk satu kerajaan 
dengan majoriti mudah di DUN Selangor melalui bantuan Umno, dengan
mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

Perbualan yang berlaku dalam kumpulan WhatApps melibatkan semua
pemimpin jawatankuasa PAS pusat.

Seorang anggota jawatankuasa yang tidak tidak mahu dinamakan, 
mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa paparan skrin WhatApps itu 
adalah asli.


Beliau kemudiannya dalam Facebooknya tidak menafikan kandungan mesej 
tersebut sebaliknya menafikan beliau sebahagian daripada kumpulan itu yang
membangkitkan idea meninggalkan Pakatan.

"Berikutan dengan perbincangan itu, saya mencadangkan supaya dibuat 
 analisis senario apa yang akan berlaku jika PAS keluar PR dari segi 
 kerajaan negeri yang PAS bersama di dalamnya, situasi penerimaan
 ahli-ahli dan lain-lain.Cadangan itu dialu-alukan dan mereka meminta 
 saya mengemukakannya.

"Saya menegaskan saya tidak termasuk dalam senarai mereka yang 
 menyokong usul keluar PR itu.

Semoga dengan penjelasan ini, nama saya dapat dibersihkan daripada 
tanggapan buruk pelbagai golongan ekoran sikap segelintir pihak di 
dalam PAS yang membangkitkan fitnah yang sedang tidur," tulisan Mohd 
Zuhdi dalam Facebooknya dipetik.Malaysiakini

0 comment... add one now