Suami Ziana Zain Sebak Lihat MH17-Suami kepada penyanyi popular Ziana Zain iaitu Armin Zaharin menggeletar sebaik sahaja dikhabarkan tentang kesahihan kemalangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang jatuh terhempas di timur Ukraine dekat dengan sempadan Rusia.
Situasi itu diceritakan sendiri oleh Ziana Zain ketika ditemui portal murai.com.my pagi tadi ketika majlis Syawal Berlian Safi Rania Diamond di Perkasa Ballroom, Wisma Perwira, di sini.
Menurut Ziana Zain, hati suaminya tiba-tiba sebak dan tangannya menggeletar sebaik sahaja menonton berita yang tersiar dibeberapa saluran berita antarabangsa malam semalam.
“Ketika suami saya telah menerima kiriman mesej daripada kawannya tetang berita itu dia agak terkejut, tapi sebaik sahaja melihat kesahihan berita itu di CNN dan BBC saya dapat melihat tangannya menggeletar.
“Katanya, dia baru sahaja berjumpa dengan anak-anak kapal yang berada di dalam pesawat berkenaan dan sama sekali tak menyangka ianya benar-benar terjadi,” katanya yang kini sudahpun berhijab sejak 15 Julai lalu.
Suami Ziana Zain merupakan salah seorang ketua pramugara syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan antara yang paling senior dalam syarikat berkenaan.
Tambah Ziana Zain, dia memang tidak mengenali rakan sekerja suaminya itu, bagaimanapun pernah ternampak beberapa orang daripada mereka apabila berkesempatan.
Susulan daripada kejadian itu dan juga pesawat MH307 yang hilang beberapa bulan lalu, Ziana Zain bagaimanapun tidak pernah menghalang suaminya daripada terus berkhidmat dengan syarikat penerbangan MAS.
“Saya tak pernah rasa risau dengan keselamatan suami saya yang masih lagi berkhidmat bersama MAS, kerana bagi suami saya dia percaya ajal seseorang itu akan dijemput di mana sahaja, tak kira di mana sahaja kerana itu semua urusan Allah,” katanya tenang.- murai.com.my