Pesawat Terhempas Di Taiwan Pula - Sebuah pesawat domestik Penerbangan TransAsia terhempas semasa mendarat di sebuah pulau di pantai barat Taiwan semalam menyebabkan 47 orang terbunuh, kata Pentadbiran Aeronautik Awam (CAA).
Menurutnya, pesawat 70 tempat duduk jenis ATR-72 itu terhempas dekat landasan bersama 54 orang penumpang dan empat anak kapal.
"Suasana kelam-kabut berlaku di lokasi kejadian," kata pengarah CAA, Jean Shen kepada agensi berita Reuters.
Menurut pihak berkuasa, seramai 11 orang yang cedera telah dihantar ke hospital.
Kemalangan itu berlaku di Pulau Penghu yang turut dikenali sebagai Pulau Pescadores.
Butiran lanjut mengenai kemalangan udara itu tidak dapat dipastikan setakat ini.
Namun, nahas itu berlaku ketika taufan Matmo melanda Taiwan semalam dengan membawa hujan lebat dan angin kencang.
Penerbangan TransAsia merupakan syarikat penerbangan berpangkalan di Taiwan yang memiliki sebanyak 23 pesawat Airbus dan ATR.
Sebahagian besar laluan syarikat itu melibatkan laluan domestik selain beberapa penerbangan menuju ke Jepun, Thailand dan Kemboja di Asia.
Selain kemalangan semalam, Majlis Keselamatan Penerbangan Taiwan memberitahu, TransAsia mengalami lapan kemalangan sejak tahun 2002 termasuk enam yang melibatkan pesawat ATR-72. - Reuters