Satu ketika, zuriat sulung kepada pelantun suara lagu Rindu Terhenti, Tomok pernah menjadi terkenal dek satu video yang kemudian menjadi viral.
Dan baru-baru ini, di laman instagram milik penyanyi itu, dia berkongsi pula satu emel tawaran oleh sebuah produksi antarabangsa untuk menggunakan video yang memaparkan anaknya itu, Arrian Shah Akid.
Bertemu dengan Tomok di sebuah majlis berbuka puasa di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini, Tomok memberitahu emel tersebut datang daripada produksi rancangan bersiri Oprah Winfrey.
Masa dapat emel tu, saya risau juga sebenarnya. Kemudian saya suruh adik saya periksa betul-betul tentang tawaran itu. Jika betul, Alhamdulillah... tetapi jika tidak jadi pun saya tidak kisah," katanya yang memberikan kuasa kepada adiknya untuk menguruskan perkara itu.
Pihak Tomok juga sudah berbalas emel dengan produksi tersebut tentang tujuan sebenar mereka mahu menggunakan salah satu visual yang memaparkan anak kecil itu.
Perkara ini masih dalam perbincangan. Sebenarnya mereka nak pakai visual ketika majis aqiqah Arrian. Menurut pihak sana, mereka mahu menunjukkan budaya kita.
Tapi mereka tidaklah mahu pakai keseluruhan visual tersebut, mungkin hanya untuk beberapa saat sahaja bagi menunjukkan budaya orang kita," jelasnya.
Memandangkan video tersebut diambil oleh adiknya, Tomok lebih selesa menyerahkan seluruh proses perbincangan itu kepada adiknya.
Setakat ini, belum ada lagi bercakap tentang bayaran atau sebagainya," jelasnya.
Menjawab persoalan tentang penampilan anaknya, jelas Tomok, ia adalah untuk membantu mempromosikan budaya tempatan kita.
Sebelum ini pun, saya tidak pernah membawa anak saya sesi penggambaran tapi yang ini adalah visual yang telah siap. Mereka hanya mahu gunakan sahaja, jadi tak banyak masalah pun," ujarnya.
Jelas Tomok, sejak berumahtangga, dia bersyukur kerana kehidupannya menjadi lebih tenang dan rezekinya semakin mencurah-curah.
Dulu ada orang kata kalau dah berkahwin, populariti artis akan cepat jatuh. Sebenarnya pandangan itu tidak betul kerana apa yang penting niat kita untuk mencari rezeki dalam industri," jelasnya.
Dapat anak
Bercakap mengenai rezeki, Tomok melahirkan rasa bersyukur kerana raya tahun ini akan bertambah meriah apatah lagi mendapat perkhabaran yang isterinya sedang mengandung anak kedua.
Saya dah jumpa doktor dan mungkin pertengahan bulan dua atau tiga, 2015 nanti adalah tarikh bersalin.
Setakat ini, baru tiga minggu lebih mengandung. Alahan isteri sama sahaja macam tahun lepas, muntah-muntah dan alahan lain yang agak kuat juga.
Itu yang kadang-kadang saya pun sekali terasa mual. Tapi kami dah bersedia, memang dah beli asam banyak-banyak untuk elak mual," jelasnya.
Menurut Tomok, untuk anak kedua itu, isterinya berharap mereka dikurniakan anak perempuan.
Kalau boleh isteri kata dia mahukan anak perempuan, sedang elok, dapat sepasang. Bagi saya, apa yang lebih penting ialah untuk melihat dia dilahirkan dalam keadaan yang sempurna dan sihat, apa jantina pun saya tidak ada masalah," jelasnya.