Menurut portal kerajaan itu www.kmu.gov.ua, pihak berkuasa dimaklumkan kumpulan pengganas sudah memindahkan 38 jasad ke rumah mayat di Donetsk, yang menurut seorang ‘pakar’ yang bercakap dalam loghat Rusia, untuk dibedah siasat.
Laporan itu juga mendakwa kumpulan pengganas terbabit menghalang komuniti antarabangsa dan pihak kerajaan memasuki kawasan nahas.
“Ini bagi menghalang siasatan dan kumpulan pengganas juga sedang berusaha mendapatkan pengangkut kargo yang besar bagi memindahkan bangkai pesawat ke Rusia,” dakwa laporan tersebut.
Sehubungan itu, kerajaan Ukraine menggesa masyarakat antarabangsa agar mendesak Rusia mengeluarkan kumpulan penyokongnya dari Ukraine.
“Mereka juga harus membenarkan pakar Ukraine dan antarabangsa menjalankan siasatan menyeluruh.
“Tiada maaf bagi penjenayah antarabangsa mahupun pihak yang menyokong melatih, menyalurkan bantuan kewangan dan membekalkan senjata kepada mereka,” lapor portal itu.
Menurut laporan itu lagi kerajaan Ukraine bersedia mengadakan segala kelengkapan yang perlu dan petugas bagi tujuan siasatan serta menghantar pulang jasad mangsa ke negara masing-masing.
“Akan tetapi pada masa ini, kumpulan pengganas pro-Rusia menghalang semua ini,” lapor portal tersebut. -Bernama