Watak Penjahat Rosyam Nor Dalam Filem Tamil Kabali


One Sudah disahkan pelakon Datuk Rosyam Nor bakal berdepan dengan bintang India Rajinikanth dalam filem samseng Kabali yang dijadual siap penggambaran Februari depan.

Menurut laporan media tempatan, filem yang diarahkan oleh Pa Ranjith itu memulakan penggambaran sejak Ogos tahun lalu di Chennai dan turut memilih Melaka sebagai salah satu lokasi.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 49, memegang peranan sebagai penjahat.

Rosyam menjadi orang kanan kepada ketua samseng, watak yang dipegang oleh aktor Taiwan Winston Chao.

Pada awalnya, terdapat spekulasi yang bertebaran mengenai calon pelakon yang akan memegang watak sebagai penjahat.

Sumber sebelum ini menyatakan hero aksi China Jet Li yang akan membawakan watak sebagai ketua penjahat.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi Rosyam berhubung perkara itu.

Laporan media bagaimanapun menyebut pelakon itu telah mengesahkan peranannya itu dalam Kabali.

Rosyam memang sedia terkenal mampu membawakan watak jahat dengan berkesan. Beliau sebelum ini terkenal dengan watak samseng “Castello” yang dibawanya.

0 comment... add one now