Gadis 20 Tahun Terkejut Ibu Dan Ayah Belum Kahwin

Terbaca dalam FB, sepasang bayi kembar ditinggalkan di Hospital Segamat selepas dilahirkan pada 2 November lalu. 

Sekiranya ada sesiapa yang mengetahui dan ada maklunat berkenaan ibu bayi, mohon menghubungi pegawai pelindung kanak kanak JKM Daerah Segamat.
(gambar hiasan)

Hmm…kenapa terjadi begini? 

Ulasan saya di bawah ini tidak ada kena mengena dengan kes ibu bayi di atas.

Stigma masyarakat menyebabkan ada ibu yang tergamak meninggalkan anaknya begitu saja di hospital tanpa sebarang maklumat dan dokumen. Pihak hospital pun tidak dapat mengesan kerana selalunya kes begini melibatkan gadis mengandung tanpa suami, tidak mempunyai rekod kehamilan dan dokumen pengenalan diri.

Dokumen pengenalan diri sangatlah penting. 

Tetapi zaman ini masih ada yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri rentetan ketika ibu dilahirkan tidak didaftarkan sijil lahir. Bila ibu itu tidak punya sijil lahir, maka membesarlah dia sebagai orang pendatang. 

Tidak bersekolah, tidak dapat bekerja secara sah dan tidak dapat bernikah. Namun dia tetap normal sebagai manusia biasa yang mempunyai nafsu dan keinginan berkasih sayang.

Sangka baik, dia ingin berkahwin tetapi tanpa dokumen menghalang pernikahan dijalankan. Maka terjebak dia dalam zina atau dia dirogol. Apa yang mampu dilakukan lagi?

Apabila telah mengandung tanpa pengenalan diri, tanpa suami lagi, tanpa sebarang rawatan ketika hamil telah menyebabkan akal tidak dapat berfungsi. Ketakutan, trauma menyebabkan gadis itu sanggup menghilangkan diri begitu saja dan meninggalkan anaknya di hospital. 

Lebih selamat anak itu ditinggalkan di hopital yang mana nanti JKM akan mengambil hak penjagaan dan mendaftarkan sijil lahirnya sebagai ‘unknown baby’. Pendaftaran ‘unknown baby’ melalui JKM lebih mudah sebab JKM yang akan keluarkan surat sokongan.

Pengalaman saya menguruskan daftar lewat kelahiran seorang kanak kanak cukup menyerikkan. Ini disebabkan prosedur JPN dan birokrasi JKM menyukarkan.

Saya masih menerima pertanyaan dan luahan hati beberapa gadis yang telah berumur 20 tahun, menyatakan dirinya tidak ada sebarang pengenalan diri. 

Tinggal di pinggir bandar. Kini ibunya tidak membenarkan dia keluar kemana mana. Kekesalan atas sikap ibu-bapanya yang tidak ada rasa tanggungjawap mahu mendaftar kelahirannya 20 tahun lalu.

Apabila saya cuba membantu dengan memberikan beberapa cadangan dan jalan, gadis itu menemui sesuatu yang lebih membuat dia bersedih. 

Dalam usaha mencari sijil lahirnya, yang ditemuinya ialah ibu-bapanya yang tinggal serumah lebih 20 tahun sebenarnya tidak bernikah.

Dia cuba untuk keluar dari rumah, sekurang kurangnya bekerja menyara ibu bapanya yang tua, tetapi tidak berani.

Kerja setakat mengambil upah beberapa tempat yang tidak memerlukan dokumen pengenalan diri tidak tetap dan bayarannya sekadarnya sahaja. 

Masih ada rasa mahu menjaga dan berbakti orang yang telah mengasuhnya sejak kecil. Tidak mampu dia derhaka walaupun tidak bersekolah. Mendapat pendidikan tidak rasmi melalui kawan sebaya ketika masih kecil dahulu membolehkan dia tahu membaca, menulis dan mengira sahaja.

Wahai ibu bapa diluar sana, wahai saudara prihatin semua, sekiranya menemui mereka yang tidak mempunyai pengenalan diri, bantulah untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri walau pun sukar. 

Akhir-akhir ini banyak kes terjadi terutama ke atas bayi yang dilahirkan di rumah tanpa ayah yang sah. Ada juga kes apabila gadis dah melahirkan anak, pihak lelaki yang mengaku bapa terus ambik bayi tanpa didaftarkan sijil lahir.

Wahai bapa bapa separuh masak, kamu tidak boleh mendaftarkan sijil lahir bayi yang kamu ambil dari teman wanita kamu tu. Bayi itu akan diklasifakasikan sebagai ‘unknown baby’ yang mana kesan utama ialah tak ada nasab walaupun sebelah ibu, dan yang utama tidak ada warganegara dan negara.

 Mereka sama seperti pendatang tanpa izin. Janganlah berlaku zalim terhadap mereka.

Masa bayi tu kecil, comel semua orang suka pelihara walaupun tak ada dokumen kelahiran diri. 

Orang tak tahu kesannya apabila bayi itu membesar, melalui zaman kanak-kanak dan memasuki alam persekolahan. Jangan aniya dan zalimi mereka, cukuplah sudah mereka diberikan gelaran anak tidak sah taraf.

0 comment... add one now