Lelaki Belasah Bangla Cuci Kereta Dicekup



Seorang ahli perniagaan ditahan, selepas dipercayai menampar seorang pekerja cuci kenderaan warga Bangladesh di Subang Perdana, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Rozi Jidin berkata, suspek ditahan malam tadi di sekitar kawasan Kampung Baru Subang.

Menurutnya, lelaki berusia 30-an itu akan direman pagi ini untuk siasatan.

“Siasatan akan diteruskan, selepas tempoh reman diperolehi pagi ini,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu sengaja menyebabkan kecederaan.

Ia susulan laporan yang dibuat pemilik premis cuci kenderaan itu di Balai Polis Brickfields, pada pagi semalam.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis itu yang mula menjadi viraldi media sosial, menunjukkan pekerja dari Bangladesh yang baru tiga bulan bekerja di sana, diserang seorang pelanggan lelaki.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, hidung mangsa dikatakan patah, selepas dibelasah suspek, kerana didakwa mengotori kenderaannya.

Pemilik premis cuci kenderaan yang terletak di Subang Perdana itu, Haziyati Abdul Hamid dipetik akhbar Sinar Harian sebagai berkata, pekerjanya yang bernama Shian itu masih trauma, akibat insiden berkenaan.

Jelasnya, selepas menampar mangsa, pelanggan terbabit membelasah Shian di belakang kedainya, namun CCTV di belakang tidak berfungsi, tetapi tompokan kesan darah jelas kelihatan di lantai. – The Rakyat Post,

0 comment... add one now