Bank Negara Halang RM 7 Bilion Dana 1MDB Ke Luar Negara

Bank Negara Halang RM 7 Bilion Dana 1MDB Ke Luar Negara

Bank Negara Malaysia telah membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1MDB di bawah Akta Kawalan Pertukaran 1953 (ECA) untuk pelaburan luar negara berjumlah AS$1.83 bilion (kira-kira RM7.5 bilion pada kadar pertukaran semasa).

Bank pusat itu berkata dalam satu kenyataan bahawa ia juga mengeluarkan arahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) kepada 1MDB untuk menghantar balik sejumlah AS$1.83 bilion ke Malaysia dan mengemukakan satu pelan baginya untuk tujuan ini.

Kenyataan itu dibuat sebagai respon kepada kenyataan Peguam Negara bahawa 1MDB tidak melakukan sebarang kesalahan berkenaan siasatan Bank Negara terhadap 1MDB.

Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan semalam berkata Bank Negara telah menyiasat 1MDB di bawah ECA atas dakwaan dengan sengaja atau dengan melulu, membuat kenyataan palsu.

Kertas siasatan itu telah dikemukakan pada 21 Ogos.

Bagaimanapun, Timbalan Peguam Cara Negara 1 Datuk Abd Majid Hamzah memutuskan tiada kesalahan dilakukan oleh 1MDB dan tiada tindakan lanjut perlu diambil, kata kenyataan itu.


Kertas siasatan itu dikembalikan kepada Bank Negara pada 11 September dan keputusan itu dimaklumkan kepada Bank Negara pada hari yang sama.

Bagaimanapun, pada 1 Oktober, Bank Negara membuat permintaan supaya keputusan itu disemak semula tetapi selepas menimbangkan permintaan itu, Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk mengekalkan keputusannya kerana tidak ada bukti baru yang telah diberikan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bank Negara berkata, keputusan peguam negara berkenaan dengan siasatan terhadap 1MDB berkaitan dengan syor Bank Negara untuk memulakan pendakwaan jenayah terhadap 1MDB kerana pelanggaran di bawah ECA.

Bank Negara berkata di bawah Perlembagaan Persekutuan, keputusan untuk memulakan pendakwaan jenayah terletak sepenuhnya pada peguam negara.

Sebagai pihak berkuasa penyiasatan, katanya, bank berkenaan bertanggungjawab untuk menjalankan siasatannya pada tahap profesional yang paling tinggi dan terperinci.

Pihak bank itu, tambahnya, pada setiap masa mengkehendaki pendedahan maklumat lengkap dan tepat oleh pemohon dalam mempertimbangkan apa-apa permohonan di bawah ECA.

Di pihaknya, kata kenyataan itu lagi, bank berkenaan telah membuat kesimpulan bahawa kebenaran yang diperlukan di bawah ECA untuk pelaburan 1MDB di luar negara telah diperolehi berdasarkan maklumat yang tidak tepat atau tanpa pendedahan lengkap maklumat bahan yang relevan pada penilaian pihak bank terhadap permohonan 1MDB.

Katanya, bank pusat itu akan terus memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.




Gabenor Bank Negara – Grafik FMT

0 comment... add one now