Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema ini berpendapat Gegar Vaganza mampu mengembalikan zaman kegemilangan seseorang artis selepas sekian lama menyepi.
"Program itu merupakan satu ruang terbaik apatah lagi barisan artis yang terlibat bukanlah calang-calang orangnya.
"Kebanyakan peserta yang menyertainya sudah pun ada nama cuma mungkin mereka menyepi seketika dan kini kembali beraksi.
"Secara peribadi, saya suka tengok program itu dilaksanakan," katanya kepada Zass.
Nora ingin sertai Gegar Vaganza
SELEPAS dua musim bersiaran, program realiti, Gegar Vaganza terus meninggalkan impaknya tersendiri.
Pada masa sama, program terbitan Astro itu menjadi platform terbaik buat artis-artis lama melepaskan rindu di atas pentas untuk menghiburkan penonton.
Turut berkongsi pendapat yang sama ialah penyanyi terkenal era 90-an, Nora Ariffin.
Bahkan, jika berkesempatan, pemilik nama penuh Wan Norafizah Ariffin ini turut memasang impian untuk menyertainya suatu hari nanti.
"Sebenarnya, saya ada ditawarkan untuk menyertai Gegar Vaganza musim kedua (GV2) oleh Astro.
"Ketika itu, saya diberitahu GV2 mahu dilaksanakan di Johor Bharu.
"Selepas memikirkan akan komitmen terhadap keluarga, saya terpaksa menolaknya," katanya.
Meskipun berlaku perubahan lokasi terhadap GV2 kemudiannya, penyanyi berusia 44 tahun itu bagaimanapun menganggap ia sebagai tiada rezeki,
":Perbincangan mengenai perkara itu habis di situ saja dan pula tidak diberitahu yang lokasinya sudah ditukar kemudian.
"Mungkin ketika itu ada berlaku sedikit salah faham, tetapi, tidak mengapa.
"Jika saya mendapat tawaran lagi dan dilaksanakan di sekitar Kuala Lumpur, Insya-ALLAH, saya akan sama-sama menjayakannya," katanya.
Dalam pada itu, Nora turut berpendapat industri muzik kini semakin berkembang apatah lagi dengan kemunculan artis-artis baharu yang berbakat besar menerusi kewujudan pelbagai program realiti seperti Bintang Mencari Bintang, Akademi Fantasia, Mentor, Bintang RTM dan banyak lagi.
Kembali aktif menyanyi
Dalam perkembangan lain, selepas lebih lima tahun menyepi, Nora kini tampil dengan single terbaharunya, Anugerah ciptaan tiga komposer muda iaitu Omar K, Audi Mok dan Ezra Kong.
Bahkan, sempena tahun baru 2016 juga, isteri Johan Nawawi ini akan mengadakan sebuah showcase khas buat peminatnya pada 15 hingga 17 Januari depan di Theater Lounge Cafe (TLC) di Sri Hartamas, Damansara.
"Jujurnya, saya gementar untuk kembali aktif dan membuat persembahan solo. Namun, perasaan rindu kepada peminat membuatkan saya mengambil langkah berani dan mengetepikan rasa takut.
"Persembahan itu dirancang bagi mengubati rindu peminat yang tidak jemu-jemu menyokong perjalanan kerjaya saya.
"Saya menganggap showcase itu sebagai sesuatu yang peribadi buat diri saya. Ini kerana sudah lama saya mengimpikan untuk menghiburkan peminat," katanya.
Dalam showcase itu, Nora akan mendendangkan rangkaian lagu hitnya seperti Hanya Satu, Dendam Dalam Diam, Naluri, Menyemai Cinta Bersamamu, Jentayu dan Di Persimpangan Dilema.
Malah, Nora turut menjemput beberapa artis untuk memeriahkan persembahannya nanti.