Pelik Tiada Pengumuman Rasmi Keputusan PT3 Dari Kementerian

Sikap membisu pihak kementerian itu mendorong ibu bapa untuk mengetahui punca keputusan peperiksaan PT3 disembunyikan daripada pengetahuan umum, tidak seperti pengumuman keputusan rasmi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 oleh Dr. Khair pada 26 November lalu.

Persoalan timbul, adakah pencapaian PT3 yang menjadi perintis pertama kementerian memperkenalkan sistem baharu itu menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) merudum teruk atau ada sesuatu di sebalik kenapa semua pihak berdiam diri.

Analisis Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik PMR sebelum ini menerima kesan memalukan apabila GPS sekolah mereka merosot teruk.

Semua 453,413 calon yang menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada 13 Oktober lalu telah mendapat keputusan di sekolah masing-masing semalam.

Bagaimanapun, keputusan itu menimbulkan kemusykilan dan tanda tanya dalam kalangan ibu bapa kenapa Menteri Pelajaran atau sekurang-kurangnya Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusuf tidak mengumumkannya secara rasmi.

Seorang bapa, Razman Abdullah berkata, dengan sikap sedemikian beliau beranggapan kementerian berkemungkinan besar berasa malu hendak berhadapan dengan ibu bapa berikutan prestasi peperiksaan itu merosot dan tidak mencapai kejayaan seperti diharapkan.

"Dari awal lagi ibu bapa membantah keputusan Kementerian Pelajaran menukar ganti sistem pembelajaran kerana perubahan itu dilakukan dalam jangka masa yang singkat.

"Pelajar yang sudah biasa dengan silibus terdahulu untuk menduduki peperiksaan PMR, tiba-tiba dikejutkan dengan sistem baru dikenali sebagai PT3. Pelajar keliru… ini membantutkan pembelajaran mereka," katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Semalam, portal ini melaporkan keluhan ibu bapa berhubung keputusan peperiksaan PT3 yang mereka sifatkan sebagai tidak masuk akal dan pelajar diper*****kan dengan sistem tidak berhala tuju diperkenalkan Kementerian Pelajaran.

Seorang bapa, Kamaruddin Omar pula berkata, beliau sebagai bapa kepada anak yang menduduki peperiksaan itu dari mula kementerian umum kaedahnya lagi sudah tidak puas hati dan menaruh harapan perubahan itu tidak dilakukan ketika pelajar hampir menduduki PMR.

Jelas beliau, sepatutnya kementerian mengembalikan semula konsep Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau mengekalkan PMR kerana ini sahaja cara penilaian terbaik untuk sekolah seluruh negara, bukan sekolah tertentu sahaja.

Bahkan, kegagalan PT3 juga turut mendapat respon daripada Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff yang menyifatkan sebagai mengecewakan.

Beliau dalam reaksinya berkata, ramai ibu bapa kecewa dengan keputusan yang dicapai anak mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan 4, Bandar Baru Bangi.

Katanya, sekolah itu sebelum ini antara yang terbaik di Selangor apabila ratusan pelajarnya mendapat semua 8A ke atas.

"Bagaimanapun, tahun ini hanya lapan pelajar dari sekolah ini mendapat semua A. Pencapaian sekolah ini adalah lebih kurang sama sahaja dengan pencapaian dari sekolah berasrama penuh yang lain.

"Maklumat awal yang saya perolehi menunjukkan hanya 11 pelajar dari SMK Tunku Kursiah mendapat semua A, 10 dari SMK Faris Petra, seorang dari Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), seorang dari SM Sains Kota Tinggi Sakti, 21 orang dari SM Sains Muzaffar Syah dan 26 orang dari Sekolah Tun Fatimah.

"Saya bertanyakan ibu bapa dan guru mengenai pelaksanaan PT3. Satu persamaan pandangan mereka ialah PT3 adalah peperiksaan yang paling bercelaru, kelam kabut dan kucar kacir," katanya. - MalaysiaGazette

1 comment... add one now

AnonymousAnonymous 9:49 PM
Saya baru melihat keputusan PT3 anak saya hari ni.... mmg agak terperanjat dan mengecewakan. Lebih teruk berbanding dulu.