Khalid Ibrahim Dipecat Hilang Jawatan Menteri Besar Selangor-Ini berita yang baru diterima dari sumber sahih di ibu pejabat PKR, Tropicana.
PKR sebentar tadi dikatakan telah membuat keputusan drastik - memecat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai ahli parti berkuatkuasa serta merta.
Menurut sumber, surat pemecatan Khalid ditandatangani oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Ismail dan dihantar dengan tangan kepada Khalid di kediamannya.
Dengan pemecatan ini, Khalid hilang kelayakan sebagai Menteri Besar Selangor dan akan diminta untuk mengosongkan kerusi DUN Pelabuhan Klang yang disandangnya sekarang.
Persoalan kenapa pemecatan ini berlaku setelah PKR dan Khalid dikatakan bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian yang wujud sebelum ini, masih tidak dapat dipastikan. Banyak pihak masih terkejut dengan berita ini dan masih menunggu perkembangan selanjutnya.
Berita Sebelum..
Tan Sri Khalid Ibrahim mungkin akan dipecat sebagai ahli PKR sekiranya beliau masih enggan melepaskan jawatannya sebagai menteri besar Selangor.
Menurut sumber parti, kemungkinan untuk memecat Khalid telah dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik PKR di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya malam tadi.
"Walaupun kami melihat perkara ini salah satu cara untuk membuatkan Khalid mengosongkan jawatan itu, tetapi ia akan memburukkan imej parti," kata sumber yang enggan namanya disebut kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, ketika ditanya berhubung perkara itu, Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Malaysiakini bahawa tiada perkataan "pecat" disebut dalam minit mesyuarat biro itu malam tadi.
"Saya setiausaha agung tak ada perkataan sack (pecat) pun semalam," katanya.
Ditanya tentang tindakan disiplin yang mungkin dikenakan, beliau hanya menjawab: "Kita bincang pelbagai perkara menyentuh tentang isu ini". Terus diasak sama ada terdapat perbincangan berhubung tindakan disiplin selepas sidang media, Saifuddin berkata: "Kita bincang semua senario. Khalid pakai dua jaket, iaitu ahli parti dan menteri besar yang mendapat mandat dari parti."
Keengganan Khalid untuk memenuhi permintaan PKR supaya berundur daripada jawatan menteri besar mengecewakan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kelihatan bingung dengan situasi itu.
Ini kerana, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan sokongan terhadap Khalid dan meminta beliau mengekalkan jawatannya.
Pendirian pemimpin PAS itu turut memungkinkan berlakunya 'perpecahan' Pakatan Rakyat walaupun Anwar sebelum ini telah menolak dakwaan itu bahawa tidak ada tanda-tanda perpecahan dan semua pihak komited terhadap semangat kerjasama Pakatan.
[Baca berita penuh]
Laporan tambahan oleh Radzi Razak.
Read here: https://my.news.yahoo.com/pecat- ... -pkr-062444144.html