Penjelasan Rosmah Isu Beg Tangan Berjenama

1 Berjoli di luar negara

Kebanyakan lawatan saya ke luar negara kerana mengiringi suami menjalankan tugas.  Selain itu, saya juga menerima jemputan untuk menyampaikan ucapan oleh negara yang berminat untuk berkongsi apa yang Malaysia lakukan.

Memang kebanyakan negara yang saya dekati ialah negara Dunia Ketiga dan Timur Tengah. Ini kerana negara-negara inilah yang memerlukan pendekatan yang saya katakan tadi. Negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jepun dan Korea sudah maju dan kaya. Jika mahu berbakti, sudah tentu kita mendekati masyarakat atau negara yang memerlukan idea kita. Kita mahu buat kerja, bukan glamour.

Saya pernah dijemput memberi ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Pertama Mengenai Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) Dalam Pendidikan Ke12 di Riyadh tahun 2011. Saya juga menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Akademi Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Saudi Arabian Islamic Foundation for Giftedness and Creativity (Mawhiba).

Bagi saya ini adalah pengiktirafan terhadap wanita Islam yang mempunyai pandangan sederhana tetapi moden dan pada masa yang sama tidak melanggar adab kesopanan wanita Timur.  Untuk seorang wanita diterima di kalangan pemimpin-pemimpin dunia lelaki terutamnya di Timur Tengah bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi mereka sering memandang rendah kepada wanita.
Apabila wanita Islam mempunyai buah fikiran yang boleh dikongsi bersama dan buah fikiran itu sememangnya untuk manfaat rakyat maka mereka memberi penghargaan dengan cara menjemput kita ke negara mereka untuk menyampaikan ucapan. Masakan saya sempat untuk berjoli?  Lagipun, saya tidak minat berjoli.

2. Pembaziran Projek Permata

Sejarah membuktikan bangsa yang tiada pendidikan akan terus ditindas.  Saya percaya orang yang mempunyai pendidikan akan lebih berjaya.  Sebagai anak bekas guru, saya faham tentang bagaimana pendidikan berfungsi untuk membentuk keperibadian manusia. Pendidikan harus bermula daripada awal. Justeru, saya mencadangkan penubuhan Permata.Ini idea baru.  Tidak apalah, kalau idea baru memang agak sukar diterima oleh semua orang kerana mereka tidak memahami apa sebernarnya yang ingin kita sampaikan.

Satu lagi masalah ialah sikap penyokong politik yang taksub, kita yang tidak dapat membezakan kerja kemasyarakatan dengan politik. Semuanya mereka satukan. Agak malang apabila kerja-kerja kemasyarakatan seperti Permata dijadikan motif politik.Saya tidak faham mengapa orang mempertikaikan tentang Permata sedangkan program tersebut adalah untuk kebaikan generasi akan datang.  Ada yang marah-marah apabila kerajaan mengumumkan bajet yang besar untuk Permata sedangkan tidak ada satu sen pun duit itu masuk ke poket saya.

3 Bergaya dengan perhiasan mewah

Seperti kebanyakan isteri pemimpin, saya juga mengiringi suami ke beberapa negara kerana urusan negara.  Ada juga yang menjemput saya atas kapasiti sebagai isteri Perdana Menteri. Mereka mahu saya memberi ucaptama tentang pengalaman masyarakat Malaysia terutama yang berkaitan wanita dan pendidikan awal kanak-kanak.

Apabila saya ke negara tersebut, mereka menyambut kami dengan mesra sebagaimana kita melayan mereka apabila mereka ke negara kita. Itulah adab sopan melayan tetamu. Sebagai meraikan kehadiran tetamu, kebiasaannya mereka memberikan cenderamata sebagai kenang-kenangan. Antara cenderamata tersebut termasuklah cincin, jam, bag tangan, perhiasan diri dan sebagainya. Ada yang diberi itu mahal harganya dan ditempah khas terutama negara negara Timur Tengah.

Apabila orang memberi kita sesuatu, sudah tentu tidak manis untuk menolaknya.  Kita mesti menjaga hati mereka apatah lagi kita adalah tetamu.  Bagaimana perasaan kita apabila pemberian kita ditolak orang lain? Tentu kita akan tertanya-tanya dengan pelbagai soalan dan merasa kecil hati. Dan, apabila telah diberi, saya pun memakainya.  Tak kan nak simpan saja dalam peti besi sedangkan barang-barang yang diberikan itu dengan ikhlas, cantik dan sesuai untuk digunakan.  Adalah satu pembaziran jika ia di simpan 'kaku' dalam kotak simpanan. Saya sedar ramai mata yang memerhati setiap apa yang saya lakukan dan setiap apa yang saya pakai.  Itu hak mereka. Saya tidak boleh menghalang. Tetapi, malangnya mereka ini bukan saja memerhati malah memfitnah saya dengan perkara-perkara yang tidak masuk akal.

Pendek kata, saya tidak mampu memuaskan hati setiap orang.  Yang penting, saya percaya pada apa yang saya lakukan

0 comment... add one now