Muhyiddin Dipecat Lagi Digantung Atau Bebas Terjawab Nanti


Dipecat, digantung, diberi amaran atau bebas?

Salah satu daripada empat nasib inilah yang bakal menimpa Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin pada mesyuarat MT Umno pada 9 September ini.

Tetapi menjelang dua hari sebelum mesyuarat tersebut, Najib Razak memanggil mesyuarat khas biro politik yang dipengerusikannya di Pejabat Perdana Menteri.

Muhyiddin dan Shafie Apdal, dua pemimpin Umno yang disebut-sebut akan diambil tindakan dalam mesyuarat pada 9 September ini, turut dijemput menghadiri mesyuarat tersebut.
Ia dilaporkan berlangsung selama sejam, tetapi sehingga ini tiada butiran lanjut diketahui mengenai perbincangan dalam mesyuarat itu.
<a href="http://a.admaxserver.com/servlet/ajrotator/851457/0/cc?z=admaxasia2&pid=0f63f8fa-4074-4272-bf3e-382aac8cd530&asid=328ea7fc-8c9d-49b6-b8e3-4563c82d3bf9" style="margin: 0px; padding: 0px; text-decoration: none; color: rgb(210, 136, 2);"><img src="http://a.admaxserver.com/servlet/ajrotator/851457/0/vc?z=admaxasia2&dim=280733&pid=0f63f8fa-4074-4272-bf3e-382aac8cd530&asid=328ea7fc-8c9d-49b6-b8e3-4563c82d3bf9&abr=%24imginiframe" width="300" height="250" border="0" style="margin: 0px; padding: 0px; border: none; max-width: 100%; height: auto;"></a>

Tindakan Najib memanggil mesyuarat biro politik ini adalah sesuatu yang pelik dan luar biasa kerana biasanya sebelum mesyuarat MT Umno, hanya Jawatankuasa Pengurusan Dan Disiplin Umno yang dipengerusikan Muhyiddin perlu bermesyuarat bagi memutuskan apa-apa perkara mengenai perjalanan atau hal-hal semasa dalam parti.

Semua syor atau keputusan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin Umno itu kemudian dibawa kepada MT Umno untuk disah dan dimuktamadkan.

Dalam Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin Umno, selain Muhyiddin sebagai pengerusi, ahli-ahlinya ialah ketiga-tiga Naib Presiden, Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan, Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Bagaimanapun tidak sebagaimana biasa, tiada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin Umno menjelang mesyuarat MT pada 9 September kali ini.

Bekas Ketua Penerangan di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Tosrin Jarvanthi mengesahkan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin Umno yang sepatutnya dipengerusikan Muhyiddin tidak diadakan kali ini.

“Kali ini tiba-tiba biro politik memanggil mesyuaratnya, bermakna tiadalah apa-apa mesyuarat lain sebelum MT kali ini bersidang,” katanya.

Bermakna juga, bukan saja biro politik yang dipengerusikan Najib mengambil alih dan merampas tugas Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin pada kali ini, bahkan seolah-olah peranan Muhyiddin sebagai pengerusinya pun digantung sebelum pun beliau dijatuhkan hukuman lagi.

Muhyiddin secara tidak langsung pun dinafikan hak dan kedudukannya sebagai orang nombor dua dalam Umno sebagaimana amalan biasa sejak sekian lama.

Dengan ini, kehadiran Muhyiddin pada mesyuarat MT kali ini hanyalah dengan “tangan kosong” saja kerana tiada apa-apa yang akan dilaporkannya.

Beliau mungkin hanya terpaksa memasang telinga mendengar bebelan Presiden Umno yang duduk di sebelahnya atau membuka mulut jika diminta memberi penjelasan berkaitan apa-apa perkara yang melibatkan dirinya.

Dari segi politik pula, tindakan Najib mengadakan mesyuarat biro politik untuk mengambil alih peranan yang biasa dimainkan timbalannya adalah isyarat tidak baik bagi kedudukan Muhyiddin pada 9 September ini.

Kebarangkalian untuk beliau dan pemimpin Umno yang lain seperti Shafie Apdal, Mukhriz Mahathir serta beberapa lagi untuk terlepas daripada sebarang hukuman berat adalah amat tipis sekali.

Bagi Muhyiddin, kemungkinan paling besar ialah sama ada dipecat atau pun digantung keahlian yang menyebabkannya hilang kedudukan sebagai timbalan presiden Umno.

Namun ada juga cakap-cakap menyebut hanya tindakan dalam bentuk amaran keras atau tunjuk sebab saja bakal dikenakan kepada Muhyiddin dan lain-lain pemimpin Umno pada 9 September nanti kerana Najib dikatakan turut bimbang dengan kesan lebih buruk kepada parti jika pemecatan atau penggantungan keahlian yang diputuskan.

Tetapi tindakan memberi amaran, tunjuk sebab atau dilepaskan begitu saja kepada Muhyiddin hampir mustahil pula daripada berlaku memandangkan ia akan lebih menyusahkan kedudukan Najib sendiri.

Dalam konteks perjalanan parti, biro politik bukanlah biro yang selalu bersidang. Ia mungkin hanya perlu mengadakan mesyuaratnya ketika hampir pilihanraya umum atau ketika memutuskan calon untuk bertanding saja, manakala selainnya ia selalu diputuskan Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin atau MT yang biasanya bermesyuarat sebulan sekali.

Tetapi dengan tiba-tiba biro politik Umno mengadakan mesyuaratnya dan ia pula diadakan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, tidak di pejabat Umno di PWTC sebagaimana biasanya, seperti menunjukkan ada isyarat tertentu disebaliknya.

Pepatah lama sering mengingatkan, kalau sudah ada guruhnya, jarang benar tidak disertai hujan, cuma mungkin kadang-kadang lebat, kadangkala pula hanya renyai-renyai saja. – shahbudindotcom.blogspot.my, 8 September, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis Shahbudin Husin dan tidak semestinya mewakili pandangan kami. Untuk membeli buku-buku politik beliau klik SINI.

0 comment... add one now