Petunjuk Baru Beri Harapan MH370 Ditemui


PERTH - Semua pesawat dan kapal yang terlibat dalam misi mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) telah dikerah ke satu lokasi di selatan Lautan Hindi di mana sebuah kapal milik China mengesan isyarat yang dipercayai dikeluarkan oleh kotak hitam pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Ketua Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC), Angus Houston berkata, pihaknya mengambil serius dengan perkembangan terbaharu tersebut dan mengarahkan semua aset ke lokasi berkenaan.

"Hari ini (semalam) beberapa aset milik tentera udara Australia dihantar ke satu lokasi di Lautan Hindi di mana kapal Haixun 01 milik China mengesan isyarat dipercayai dari kotak hitam MH370.

"Dua buah kapal milik Australia, HMS Echo dan HMAS Ocean Shield juga diarahkan ke lokasi kapal Haixun 01 berada untuk membantu mengesan serta mengesahkan isyarat berkenaan," katanya di sini semalam.

Kapal Haixun 01 mengesan isyarat elektronik tersebut pada Jumaat lalu dan sekali lagi dikesan pada tengah hari kelmarin.

Sebuah pesawat China turut mengesan beberapa objek putih di satu lokasi kira-kira 90 kilometer dari isyarat dikesan.

Katanya, kapal HMAS Ocean Shield terpaksa menangguhkan pelayaran selepas mengesan satu isyarat serupa kira-kira 300 batu nautika dari lokasi kapal Haixun 01.

Kapal HMAS Ocean Shield dilengkapi dengan alat pengesan kotak hitam yang dikenali sebagai Towed Pinger Locator yang dipinjam dari tentera Amerika Syarikat.

"Buat masa ini kita masih belum menerima sebarang maklumat terperinci dari kapal HMAS Ocean Shield.

"Kapal HMAS Ocean Shield dilengkapi dengan peralatan yang paling canggih dan isyarat yang dikesan perlu disiasat," katanya.

Ujarnya, perkembangan terbaharu itu memberi petunjuk yang menggalakkan dan memberi sedikit harapan dalam misi mencari pesawat MH370 yang membawa seramai 239 penumpang serta anak kapal tersebut.

"Pasukan mencari berdepan kesukaran mengesan pesawat jenis Boeing 777-200 itu kerana beroperasi di lautan luas dan kawasan pencarian yang sangat besar.

"Sejak pesawat ini hilang kami hanya mempunyai sedikit petunjuk yang boleh mengecilkan kawasan carian," jelasnya.

Kata Houston, pihaknya memandang perkembangan terbaharu tersebut dengan sangat serius dan maklumat itu adalah petunjuk yang paling memberi harapan.

Menurutnya, kapal Haixun 01 mengesan isyarat ini di lokasi carian di mana pesawat tersebut dipercayai terhempas.

Pesawat MH370 hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur, Malaysia menuju ke Beijing, China.

Seramai 153 penumpang dalam pesawat itu ialah warga China.

Sebanyak 38 warga Malaysia menaiki pesawat itu. - AFP

0 comment... add one now